TOLONG BACA! HUKUM MERANCANG KELUARGA KERANA BERPENDAPATAN RENDAH | Salam. Boleh saya tanya? Seseorang suami yg berpendapatan rendah, adakah perlu merancang keluarga? Anda merancang untuk tidak mendapatkan zuriat??
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum tanzim al-usrah atau perancangan keluarga atas alasan kemiskinan.
Pendapat pertama:
Bagi mereka yang tidak membenarkannya, mereka berhujah:
- Rezeki itu berada dalam ketentuan Allah, dan Allahlah yang menetapkan pembahagian rezeki bagi setiap anak. Allah berfirman dalam al-Quran:
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Maksudnya: Dan
janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya)
Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.
Surah al-An’am, (6:151)
- Penyerupaan amalan Jahiliyyah yang membunuh anak-anak mereka kerana takut miskin, sekalipun kaedah ini hanyalah menghalang lahirnya anak-anak. Namun tujuannya adalah sama, yakni takut miskin, maka hukum tujuan ialah hukum wasilah (sarana).
- Rezeki itu adalah milik Allah, dan perancangan keluarga kerana takutkan kemiskinan ialah suatu bentuk sangka buruk kepada Allah. Maka sepatutnya seseorang itu bertawakal kepada Allah kerana Allah akan memberikan rezeki kepada siapa yang Dia ingini tanpa hisab. Wajib baginya berbaik sangka kepada Allah kerana seseorang itu tidak mengetahui hakikat kebaikan dan keperluan yang sebenar seperti yang ditentukan oleh Allah. Firman Allah Taala:
وَعَسَى أَن
تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ
شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ
تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan
boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan
boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan
(ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak
mengetahuinya.
Surah al-Baqarah, (2:216)
Pendapat kedua
Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga atautanzim al-usrah kepada tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal(membataskan anak).
Tanzim al-Nasal merujuk
kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah
seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu
tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan
mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai
persetubuhan dan memasang perantiintrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan denga syarat-syarat:
- Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
- Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
- Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
Ini berdalilkan athar daripada Jabir RA:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ
Maksudnya: Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 5209) dalam al-Sahih
Ertinya,
tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia
dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan. Dalam riwayat Abu
Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka
baginda menjawab:
مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
Maksudnya: Apa
yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah
menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga
Hari Kiamat.
Dalam riwayat Abu Said RA menyebut:
لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا
Maksudnya: Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no. 7409)
Ertinya,
jika Allah mengkehendaki seorang anak itu dikandungkan dan dilahirkan
juga, tiada siapa yang boleh menghalang. Maka, pasagan yang merancang
itu hendaklah reda, beramanah dan berasa tanggungjawab.
Manakala Tahdid al-Nasal menggunakan
kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti
pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram
kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan
dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai
Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatahlagi jika ia
dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin. Pengecualian
ialah bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa
seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah
kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka
ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur
120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada
hari terakhir haid.
Fatwa-fatwa ulama
Imam
al-Ghazzali berpendapat pengguguran kandungan ialah haram mutlak
sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan
manusia. Namun, beliau beliau berpendapat bahawa azal ialah harus dan
menyatakan beberapa niat syarie untuk melakukan azal antaranya ialah
faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan
kasih sayang berpanjangan antara pasangan bagi mengelakkan talaq. Beliau
juga menyatakan faktor yang fasid (rosak) yang tidak boleh diterima dan
berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan.
Rujuk Ihya' Ulum al-Din (2/52)
Persidangan
Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di
Kuwait pada 1-6 Jamadilakhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah
memutuskan, antara lain:
- Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki atau pun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syarie.
- Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh Syarak, berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan untuk tidak mendatangkan mudarat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada.
Rujuk Majallah al-Majma’ Siri 4 (1/73).
Syeikh Atiyyah pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan
fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan
keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau
selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi
itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru,
tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan
kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya
kemudaratan yang serius.
Rujuk Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (47/10)
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991 telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan.
Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah
harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada
keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan
hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
- Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
- Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
- Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.
Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (ms. 138)
Kesimpulan
Berdasarkan
soalan yang dikemukakan, dibolehkan bagi kedua pasangan untuk
menggunakan kaedah tanzim al-nasal yang diharuskan oleh Syarak bagi
tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak, bagi tujuan
pengurusan ekonomi kerana berpendapatan rendah. Ini perlu disertakan
dengan niat bahawa jika Allah berkehendakkan pasangan itu anak, maka
tiada siapa yang boleh menghalang dan hendaklah pasangan itu reda kepada
taqdir Allah dan bersikap bertanggungjawab.
Wallahua'lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber :muftiwp
EmoticonEmoticon